Jenis sistem pembumian Pembumian elektrik

Piawaian antarabangsa IEC 60364 membahagikan sistem pembumian elektrik kepada tiga keluarga utama, dengan menggunakan kod dua huruf iaitu TN, TT, dan IT.

Huruf pertama menandakan sambungan antara bumi serta peralatan bekalan kuasa elektrik (seperti janakuasa dan transformer):

T : sambungan terus ke bumi (Bahasa Perancis: terre);
I : tiada titik sambungan ke bumi (pengasingan), kecuali melalui galangan tinggi.

Huruf kedua menandakan sambungan antara bumi serta peralatan elektrik yang dibekalkan kuasa:

T : sambungan terus ke bumi, bebas daripada sebarang sambungan yang lain ke bumi di dalam sistem bekalan;
N : sambungan ke bumi melalui rangkaian bekalan.

Rangkaian TN

Di dalam sistem pembumian TN, satu daripada titik pada penjana elektrik atau transformer disambungkan ke bumi, biasanya pada titik sambungan bintang dalam sistem bekalan tiga fasa. Badan peralatan elektrik dihubungkan ke bumi melalui sambungan bumi pada transformer.

Wayar pengalir yang menyambungkan bahagian berlogam yang terdedah dipanggil wayar bumi (PE). Pengalir yang disambungkan ke titik bintang pada sistem tiga fasa, ataupun yang membawa arus balikan pada sistem fasa tunggal, dikenali sebagai neutral (N). Terdapat tiga varian utama sistem TN:

TN−S : PE dan N merupakan pengalir berasingan yang hanya disambungkan bersama berhampiran punca kuasa.
TN−C : Pengalir gabungan PEN menggabungkan kedua-dua fungsi pengalir PE dan N.
TN−C−S  : Sebahagian daripada sistem menggunakan pengalir gabungan PEN, yang kemudiannya berpecah kepada talian PE dan N secara berasingan pada satu titik tertentu. Pengalir gabungan PEN biasanya digunakan antara substesen dan titik masukan ke dalam bangunan, di mana pengalir PE dan N yang berasingan digunakan.
TN-S: Wayar bumi (PE) dan neutral (N) berasingan dari transformer ke unit pengguna, yang tidak disambungkan bersama pada mana-mana titik selepas titik pengagihan bangunan.TN-C: Pengalir gabungan PE dan N sepanjang sistem dari transformer ke unit pengguna.TN-C-S: Pengalir gabungan PEN dari transformer ke titik pengagihan bangunan, tetapi dipecahkan kepada pengalir PE dan N pada pendawaian dalaman kekal serta wayar kuasa boleh lentur.

Adalah tidak mustahil untuk menggunakan kedua-dua sistem TN-S dan TN-C-S daripada transformer yang sama. Contohnya, pelindung pada sesetengah kabel bawah tanah terkakis dan berhenti menyediakan sambungan bumi yang baik, maka sistem pembumian bagi rumah-rumah dengan sambungan bumi yang "kurang baik" didapati bertukar kepada TN-C-S.

Rangkaian TT

Di dalam sistem pembumian TT, sambungan bumi pengguna disediakan melalui sambungan tempatan ke bumi, bebas daripada sebarang sambungan pada penjana elektrik.

Rangkaian IT

Di dalam sistem pembumian IT, sistem pengagihan tidak mempunyai sebarang sambungan bumi, ataupun ia hanya mempunyai sambungan bergalangan tinggi. Di dalam sistem sebegini, satu alat pemantau penebatan digunakan untuk memantau galangan.